21 Mac 2009

Tiga disah positif HIV setiap hari


KUALA LUMPUR: Tiga rakyat negara ini disahkan positif HIV dan seorang didapati meninggal dunia akibat Aids, setiap hari, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad. Beliau berkata, purata kes itu berdasarkan kes positif HIV terkumpul sudah mencapai 80,000 kes setahun.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kes HIV yang dilaporkan mencatatkan penurunan berterusan mulai 2003 apabila 3,692 kes direkodkan pada 2008 berbanding 6,978 kes pada 2002.



Beliau berkata bilangan direkodkan pada 2002 itu adalah jumlah tertinggi yang dilaporkan sejak kes HIV pertama dikesan pada 1986. "Kes yang dilaporkan ini menurun daripada 27 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada 2003 menjadi 17 peratus menjelang 2008.
Jika trend penurunan ini berkekalan, diunjurkan hanya sejumlah 110,000 kes HIV akan dikesan sehingga 2015. "Ia sekali gus mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Millenium sebelum 2015 iaitu menurunkan jangkitan HIV kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk," katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) yang bertanya langkah kerajaan bagi mengekang penyakit Aids dan HIV, yang dijangka meningkat menjadi 300,000 kes pada 2015 berbanding 80,000 kes tahun lalu.
Dr Abd Latiff berkata, jumlah dilaporkan Majlis Aids Malaysia itu hanya anggaran bilangan kes HIV jika tiada langkah kawalan dan pencegahan dilaksanakan. "Justeru, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah, termasuk Pelan Strategik Kebangsaan (NSP) mengenai Aids 2006-2010," katanya. Menjawab soalan tambahan Kamarul, katanya, di bawah program mengurangkan kemudaratan kedua-dua penyakit itu, kerajaan memperuntukkan RM500 juta sejak 2006 hingga 2010.
sumber: http://bharian.com.my/ 20.03.09

Tiada ulasan:

Catat Ulasan