05 Mei 2009

80% hotel di Pahang tiada sijil halal

KUANTAN 4 Mei - Sebanyak 80 peratus daripada kira-kira 400 hotel di seluruh negeri ini tidak memiliki sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).


Ketua Penolong Bahagian Penyelidikan JAIP, Zakaria Mohamed berkata, fenomena itu berlaku disebabkan kurangnya kesedaran di kalangan pengusaha hotel.
Berikutan itu, katanya, JAIP menggiatkan kempen untuk menarik lebih banyak hotel mendapatkan sijil halal.




''Jika di bandar ini, hanya lapan hotel memiliki sijil halal dan ini berlaku kerana kurangnya kesedaran di kalangan mereka.
''Pengusaha hotel perlu sedar keyakinan pelanggan Islam terhadap mereka akan meningkat dengan adanya sijil halal di premis masing-masing,'' katanya ketika menutup seminar Pembangunan Ekonomi Islam dan Produk Halal daerah Kuantan di sini hari ini.
Zakaria berkata, pihaknya akan terus menjalankan promosi di setiap daerah bagi memastikan semua premis makanan dan hotel mempunyai sijil halal dari JAIP.
Menurutnya, permohonan mendapatkan sijil halal tidak sukar kerana pengusaha makanan dan hotel hanya perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan JAIP.

''Kini, pengusaha makanan bukan Melayu turut memohon sijil halal tersebut kerana mereka mengetahui kepentingan sijil tersebut demi perniagaan mereka.
''Bukan saja bahan yang digunakan, malah barang-barang yang digunakan dalam proses penyediaan makanan turut diambil kira dalam proses mengeluarkan sijil halal kepada mereka,'' katanya.
sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_06.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan