03 Mei 2009

Bina litar lumba untuk mat rempit

MASALAH mat rempit di Malaysia semakin berleluasa. Rasanya kita sendiri sudah bosan mendengar masalah-masalah dan kekecohan yang dilakukan oleh mat rempit ini seperti perlumbaan haram, kes ragut dan rogol serta mereka juga sering dikaitkan dengan perbuatan menjahanamkan harta benda awam. Lebih mengecewakan mereka ini berani bertindak terhadap pelancong asing serta sangat biadap.

Selain keganasan, mat rempit ini suka sangat berlumba di jalan raya dan sering berlumba dalam kumpulan yang besar. Sudahlah menyesakkan lalu lintas, mereka ini suka dan bangga jika ramai yang melihat mereka berlumba.

Rasanya tidak perlu lagi kita memberitahu mat-mat rempit ini betapa bahayanya jika mereka melibatkan diri dengan kegiatan lumba haram ditambah pula dengan aksi-aksi berani mereka seperti willy, wikang dan sebagainya. Mereka sebenarnya sudah tahu bahawa apa yang dilakukan sangat berbahaya tetapi demi kepuasan serta sikap gila-gila mereka, maut tidak diendahkan.

Walaupun pelbagai kaedah telah dilakukan oleh pihak berkuasa, mereka ini seperti bayang-bayang yang tidak dapat kita hindari.

Selain daripada cuba untuk menghapuskan gejala mereka ini, saya cadangkan kerajaan membina sebuah litar khas untuk memberi peluang kepada mat rempit ini berlumba.

Cadangan ini bukan bertujuan untuk mengagung-agungkan gejala mat rempit tetapi sebagai salah satu cara untuk mengurangkan masalah ini daripada berleluasa.

Dengan adanya litar yang baik, mat rempit akan berkumpul dan berlumba di sana tanpa mengganggu lalu-lintas jalan raya di ibu kota mahupun jalan-jalan lain. Tetapi perlu ada pihak berkuasa yang memantau litar ini setiap masa supaya mereka tidak membuat kacau-bilau.

Selain dapat berlumba mereka dapat berkumpul secara aman dengan adanya kawalan daripada pihak berkuasa.

ATIKAH MAZLAN
Kelang, Selangor







Apakah cadangan ini akan mengurangkan " Mat Rempit ", pada saya itu silap bila nak mengurangkan MR( mat Rempit) kita buat litar khas, bukankah itu semacam menghalalkan perbuatannya.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan