13 Mei 2009

Keluarga rayu Karmila yang hilang


SANDAKAN 12 Mei - Keluarga kepada seorang penuntut Kolej Negeri di Negeri Sembilan, Karmila Sukirman, 19, (gambar) yang dilaporkan hilang sejak 29 Mac lalu merayu orang ramai supaya membantu mengesan gadis itu.

Karmila yang berasal dari Kampung Batu 10 dekat sini, hilang selepas tidak pulang ke tempat tinggalnya di asrama kolej berkenaan setelah menziarahi kakaknya di Selangor pada 27 Mac.

Kakak sulung mangsa, Sunarti, 26, berkata, kehilangan Karmila hanya disedari adiknya di Selangor selepas mangsa tidak menghubungi ahli keluarga sejak pulang ke kolej tersebut.

''Karmila yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik, sebenarnya tidak pulang ke kolej, sebaliknya hilang. Kami cuba menghubunginya tetapi tidak berjaya.

''Khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang diterima hanyalah perkataan 'ha-ah' yang menyatakan sudah sampai di kolej tetapi sebenarnya tidak pulang,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sunarti yang berasa tidak sedap hati dengan kehilangan adiknya itu menghubungi rakan sekuliahnya dari kolej tersebut untuk bertanya tentang Karmila.

''Saya amat terkejut apabila dimaklumkan, sejak Karmila ke rumah adik saya di Selangor, dia masih belum pulang lagi ke kolej,'' ujarnya.

Berikutan itu, kata Sunarti, adiknya yang menetap di Selangor telah membuat laporan di Balai Polis Pandamaran, Klang, tetapi sehingga kini masih tidak ada sebarang perkembangan.

''Kami sekeluarga terutamanya mak dan ayah risau dengan keselamatan Karmila, kami merayu orang ramai supaya menghubungi polis atau jika tahu di mana Karmila berada,'' ujarnya.

Katanya, sesiapa yang ingin menyalur maklumat, boleh berhubung terus dengannya di talian 012-8368453.

sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_27.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan