25 Jun 2009

USM hasil plastik boleh lupus tempoh setahun

GEORGETOWN: Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menemui kaedah menghasilkan 'plastik hijau' atau 'EnviroPLAST' menggunakan kos lebih rendah dan boleh terurai dalam tempoh setahun.

Penemuan kaedah menghasilkan plastik itu yang pertama di negara ini boleh membantu menyelesaikan masalah berkaitan pelupusan plastik yang dihadapi banyak negara, termasuk Malaysia.

Meskipun EnviroPLAST boleh lupus dalam masa enam bulan hingga setahun apabila terdedah kepada persekitaran, tetapi ia lebih kuat dan tahan berbanding plastik yang sedia ada di pasaran.

Prof Dr Hanafi Ismail, berkata EnviroPLAST dihasilkan menggunakan campuran polimer semula jadi dan sejenis bahan kimia yang dihasilkannya yang dikenali DegraCHEM.

Katanya, kaedah itu ditemui selepas melakukan penyelidikan sejak lima tahun lalu dengan menggunakan geran universiti berjumlah RM1 juta.

"Meskipun sudah berjaya menemui kaedah menghasilkan plastik hijau yang boleh terurai dalam masa singkat, penyelidikan diteruskan untuk menghasilkan plastik daripada kanji daripada kulit pisang," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dr Hanafi, dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, berkata EnviroPLAST hijau yang dihasilkannya boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pembungkusan, industri pembinaan dan automotif.

Katanya, EnviroPLAST mempunyai potensi besar kerana penghasilannya boleh menjimatkan kos sehingga 10 peratus selain membantu mengatasi masalah pelupusan plastik sedia ada di pasaran.

Proses menghasilkannya boleh dilakukan di kilang plastik sedia ada kerana ia tidak memerlukan peralatan tambahan dan boleh dihancurkan untuk digunakan semula.

Beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat di Prai, Butterworth, untuk mengeluarkan plastik berkenaan secara komersial, yang dijangka boleh dilakukan tahun depan.

Ketika ini, urusan berkaitan pendaftaran paten ciptaan itu sedang dilakukan.

sumber:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20090624233150/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan