04 Ogos 2009

Bercerai jejas kesihatan

BERCERAI hidup atau mati dalam sesebuah perkahwinan hakikatnya adalah satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan dan menerimanya sebagai takdir Tuhan.

Namun apa yang mungkin ramai tidak sedar atau tidak tahu sebenarnya perpisahan membawa kesan kesihatan yang signifikan pada isteri atau suami yang ditinggalkan biarpun selepas mereka berkahwin semula.

Malah kajian oleh para penyelidik Barat juga menunjukkan impak daripada perpisahan itu dirasai sehingga bertahun-tahun sama ada dari segi emosi mahupun kesejahteraan keseluruhan individu tersebut.

Ia terus dirasai walaupun individu tersebut mungkin sudah mampu meneruskan kehidupannya dengan menemui ketenangan dan kebahagiaan dalam perkahwinan baru.
Kajian terbaru itu telah membuktikan bahawa perceraian menjejaskan kesihatan walaupun jika mereka sudah berkahwin semula.

Mereka yang bercerai atau menjadi balu menghadapi risiko dilanda masalah kesihatan yang kronik seperti menghidap penyakit jantung, diabetes, atau kanser 20 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang kekal dalam perkahwinan.

Mereka juga menghadapi 23 peratus lebih tinggi masalah mobiliti termasuk kesukaran untuk memanjat tangga atau berjalan biarpun pada jarak yang dekat.
Kajian juga mendedahkan bahawa dengan mencari pasangan baru tidak banyak membantu mengembalikan kesihatan mereka.

Mereka yang berkahwin semula masih berdepan masalah kesihatan kronik 12 peratus lebih tinggi dan masalah mobiliti (19 peratus) berbanding mereka yang kekal dalam perkahwinan.

Adalah dipercayai bahawa bercerai atau menjadi balu menjejas tahap kesihatan disebabkan kemerosotan dari segi pendapatan, tekanan melampau dan kesedihan yang berpunca daripada isu-isu seperti penjagaan anak dan kewangan.

Bagaimanapun kesan buruk disebabkan tekanan melampau lebih ketara - daripada masalah sistem kardiovaskular hinggalah kepada sistem imun - dan berterusan sehingga bertahun-tahun lebih-lebih lagi apabila individu tersebut sekali lagi dilanda kesedihan.

Para penyelidik Universiti Chicago dan Universiti Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat, baru-baru ini membuat kajian terhadap 8,652 orang berusia antara 51 hingga 61 tahun.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_05.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan