26 Oktober 2009

Hadiah Ramadan Nik Madihah

Kegembiraan jelas kelihatan pada wajah Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal dan ibunya sebaik menerima kunci rumah baru mereka di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 17 Ogos - ''Ini hadiah bulan Ramadan. Hadiah terbaik pernah saya terima. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarga saya.''
Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal berulang kali mengucap syukur selepas menerima kunci rumah di Taman Kurnia Jaya Pengkalan Chepa di sini hari ini, yang dihadiahkan kepadanya oleh kerajaan negeri.

Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 itu kini memulakan hidup baru bersama keluarganya di rumah bernilai RM130,000 di kawasan yang dibangunkan oleh Binaraya PKINK Sdn. Bhd.

Nik Nur Madihah, 18, menerima kunci rumah itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Ia sebagai penghargaan kepada bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi itu yang mencatat sejarah pencapaian tertinggi dengan memperoleh 19 A1 dan satu A2, walaupun dalam kehidupan dilingkari kemiskinan.

''Saya sangat bersyukur kerana banyak pihak tampil untuk membantu keluarga saya.
''Kami akan memulakan hidup baru di rumah ini. Saya harap dengan adanya rumah ini keluarga saya akan lebih bahagia selepas ini,'' katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Bapanya, Nik Mohd. Kamal Hussien, 41, mencari nafkah sebagai nelayan manakala ibunya, Mariani Omar, 42, pula staf kebersihan di Universiti Malaysia Kelantan.
Atas kesukaran hidup dialami, keluarga itu sebelum ini hanya tinggal di sebuah rumah di sini yang uzur, sempit dan cuma terdapat satu bilik di Kampung Parang Puting.

Bagaimanapun, kehidupan pelajar terbabit dan keluarganya mula berubah selepas kejayaan Nik Nur Madihah dalam SPM apabila banyak pihak tampil memberi sumbangan dan bantuan.

Nik Nur Madihah kini melanjutkan pelajaran di Pusat Pendidikan Persediaan Luar Negara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai persediaan menceburi bidang fizik di Universiti Sains dan Teknologi, Jordan, 14 September ini atas tajaan Bank Negara.

Sementara itu, ibunya ketika ditemui berkata, mereka hanya akan berpindah ke rumah itu tahun depan kerana anak bongsunya masih bersekolah.

''Tahun ini belum boleh pindah sebab sekolah anak bongsu saya jauh dari sini, kalau di rumah lama lima minit saja dengan berjalan kaki.

''Saya tidak mahu dia pindah sekolah waktu ini kerana nanti sukar untuk dia belajar lebih-lebih lagi sudah dekat dengan peperiksaan,'' katanya.
Tambahnya, dia kini sibuk menemani anaknya memenuhi undangan ceramah yang diterima di seluruh negara setiap kali hujung minggu.

petikan : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_26.htm


p.s: Kecemerlangan membawa berkat, anak adalah harta yang tak ternilai harganya, menjadi tanggungjawab ibubapa membimbingnya ke arah kesempurnaan. Syabas & Tahniah Nik Madihah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan