LOS ANGELES 16 Mac - Bayi suka kepada bunyian, menurut kajian baru yang mendapati bayi secara semula jadi akan menari apabila mendengar muzik.
Kajian menunjukkan bayi akan memberi tindak balas kepada irama dan tempo muzik serta mendapati ia lebih tertarik kepadanya berbanding dengan percakapan.
Penemuan yang berdasarkan kajian ke atas 120 bayi yang berusia antara lima bulan ke dua tahun ini turut menyatakan bahawa manusia mungkin dilahirkan dengan kecenderungan mengikut pergerakan irama sebagai tindak balas kepada muzik.
"Penyelidikan kami mendapati bahawa bayi juga lebih memberi tindak balas kepada rentak irama berbanding muzik seperti melodi," kata penyelidik Marcel Zentner, pakar psikologi di Universiti York, England.
"Kami turut mendapati semakin selaras pergerakan bayi dengan muzik, mereka akan semakin tersenyum," kata Zentner.
Untuk menguji kecenderungan bayi untuk menari, penyelidik memainkan rakaman muzik klasik, rentak irama dan percakapan kepada bayi dan merakam keputusannya.
Mereka turut melantik penari profesional balet untuk menganalisis sejauh mana pergerakan bayi sama dengan irama muzik.
Ketika eksperimen, bayi diletakkan di pangkuan ibu bapa dengan ibu bapa dipakaikan fon kepala untuk memastikan mereka tidak mendengar muzik dan diarahkan supaya tidak bergerak.
Penyelidik mendapati bayi itu menggerakkan lengan, tangan, kaki, badan dan kepalanya sebagai tindak balas kepada irama muzik lebih banyak berbanding percakapan.
Walaupun keupayaan itu muncul secara semula jadi pada manusia, penyelidik tidak pasti mengapa ia berkembang.
"Ia masih menjadi tanda tanya mengapa kecenderungan ini telah berkembang. Satu kemungkinan ialah pilihan semula jadi kepada muzik atau ia telah berkembang untuk fungsi lain yang hanya berlaku untuk dikaitkan dengan proses muzik," kata Zentner. - Agensi
sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_12.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan