Oleh MOHD SHAMSURIYADI MAMAT
LAMAN sosial Facebook semakin popular di Malaysia. Malah ia turut digunakan oleh kerajaan dalam menyampaikan segala maklumat mengenai langkah kerajaan untuk memajukan lagi negara kita. Tidak ketinggalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengunakan Facebook untuk berinteraksi dengan rakyat.
Facebook kini mempunyai lebih daripada 400 juta pengguna di seluruh dunia dan lebih daripada 800,000 pengguna aktif di Malaysia. Fenomena Facebook ini bakal terus berkembang menerusi kempen oleh kerajaan dan media dalam mempromosikan gagasan 1Malaysia dan laman peminat mereka.
Terdapat banyak faedah diperoleh daripada laman sosial itu antaranya memudahkan gerakan dakwah, mencari rakan lama dan mengembangkan perniagaan. Selain itu, tokoh agama boleh menyampaikan dakwah tanpa perlu bersemuka menerusi laman peminat. Saya sendiri menjadi peminat kepada kebanyakan tokoh yang saya gemari di Facebook. Dengan ini, aktiviti dakwah dan penyampaian maklumat tidak terikat pada media massa sahaja.
Menerusi laman sosial itu juga, kita boleh mencari rakan baru dan rakan yang sudah lama tidak bertemu atau terputus hubungan sebelum ini. Malah, kita juga boleh mengetahui perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
Bagi usahawan, Facebook boleh digunakan sebagai platform untuk mempromosikan perkhidmatan dan produk yang mereka ditawarkan. Dengan kesan 'viral' di Facebook, usahawan berkenaan mampu menembusi pasaran dunia dan bukan sahaja di Malaysia. Ia juga boleh digunakan oleh para usahawan untuk berkongsi maklumat dan pendapat.
Tindakan Polis Pulau Pinang untuk menjadikan Facebook sebagai salah satu cara untuk membanteras jenayah juga patut dipuji. Dengan ini, pihak berkuasa boleh mengedarkan maklumat terkini tentang sesuatu jenayah dan mendapat maklum balas daripada orang ramai. Malah, penjenayah boleh ditangkap dengan lebih cepat hasil daripada maklumat orang ramai.
Namun, tidak semua pengguna Facebook menggunakannya secara positif. Terdapat juga kesan negatif yang boleh menggugat keamanan negara dan mengurangkan produktiviti mereka yang menggunakan Facebook.
Kewujudan laman peminat untuk membenci seseorang sememangnya tidak patut dilakukan. Ia bertentangan dengan agama yang menggalakkan kita menghormati orang lain, bukannya menyemai perasaan benci kepada seseorang. Begitu juga tindakan membuat fitnah dan berita palsu yang boleh menjejaskan keamanan yang kita nikmati sekarang.
Pengunaan Facebook secara melampau juga boleh menjejaskan produktiviti seseorang pekerja tidak kira di sektor awam atau swasta. Ketagihan pada Facebook akan menyebabkan banyak kerja tertangguh kerana terlalu asyik berinteraksi dengan rakan-rakan. Ini menyebabkan beberapa kerajaan di luar negara mengharamkan Facebook digunakan pada waktu bekerja pada kakitangan mereka.
Sejak kebelakangan ini, Facebook mula menjadi tumpuan kebanyakan Skim Cepat Kaya untuk berkembang. Mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik pengguna Facebook menyertai mereka. Jika ia tidak dibanteras segera, ia mungkin akan membawa kesan yang besar pada masa akan datang.
Namun begitu, Facebook boleh menjadi medium komunikasi yang berkesan jika digunakan secara positif.
:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan