21 April 2010

Ibu bapa perlu jadi pendengar setia

PONTIAN 21 Feb. - Ibu bapa disaran menjadi 'pendengar' yang setia selain kerap meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak mereka.
Saranan itu adalah antara intipati ceramah yang disampaikan oleh bekas penyanyi kumpulan nasyid terkenal Nowseeheart, Idzhar Jumali pada Program Bicara Ilmu sempena Konvensyen Modal Insan Peringkat Luar Bandar di Kampung Permatang Duku di sini semalam.

Menurut Idzhar, walaupun sibuk dengan tugasan seharian, ibu bapa haruslah bijak untuk mencuri masa bagi berbicara selain mendengar masalah anak-anak mereka.
''Sekiranya ibu bapa mengabaikan tanggungjawab tersebut, anak-anak akan mencari orang lain terutama rakan sebaya yang lebih sanggup untuk mendengar masalah mereka.

''Kita bimbang jika pandangan dan nasihat yang diberikan oleh rakan sebaya itu berunsur negatif kerana ia akan memberi kesan buruk kepada anak-anak selain akan menjauhkan mereka dengan ibu bapa," katanya.
Kira-kira 500 penduduk menghadiri program bertajuk Memupuk Minat Belajar dan Cintai Ilmu anjuran bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri Johor, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Kemas daerah Pontian dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Permatang Duku.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah (Unit Bina Insan) Kemas negeri, Norhidayah Haidir; Pegawai Kemas daerah Pontian, Lokman Nordin dan Pemangku Ketua Kampung Permatang Duku, Mohd. Asri Abas.
Selain itu, Idzhar memberitahu, bagi memupuk minat cintakan ilmu pengetahuan, ia harus bermula dari rumah dengan ibu bapa menjadi contoh atau model kepada anak-anak.

Justeru katanya, kedua-dua pihak iaitu ibu bapa dan anak-anak perlu saling faham memahami serta dapat mewujudkan suasana yang boleh merangsang minat mereka untuk belajar serta mencintai ilmu.
Sementara itu, Mohd. Asri berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana memilih kampung tersebut bagi lokasi program berkenaan.

Katanya, ia diharap dapat memberikan manfaat kepada semua penduduk terutama anak-anak yang masih di bangku sekolah bagi meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang akademik.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_04.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan