CHICAGO 6 Mac - Individu yang optimis hidup lebih lama daripada mereka yang pesimis, demikian penemuan para penyelidik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian.
Keputusan itu diperoleh penyelidik di Universiti Pittsburgh yang mengkaji kadar kematian dan keadaan kesihatan kronik peserta kajian Inisiatif Kesihatan Wanita yang melibatkan lebih 100,000 wanita berumur 50 tahun ke atas sejak tahun 1994.
Wanita optimistik yang kebiasaannya menjangkakan perkara baik berbanding yang buruk hanya mencatat kadar kematian 14 peratus akibat pelbagai sebab berbanding pesimis.
Kajian selama lapan tahun itu juga mendapati hanya 30 peratus wanita optimis meninggal dunia akibat penyakit jantung.
Wanita optimis juga kurang menghidapi tekanan darah tinggi dan diabetes selain tidak merokok.
Kumpulan penyelidik itu yang diketuai Dr. Hilary Tindle turut mengkaji golongan wanita yang gemar mencurigai orang lain atau sinis dan dibandingkan dengan wanita yang mempunyai lebih kepercayaan.
Menurut Tindle, wanita yang tergolong dalam kumpulan sinis itu dilihat cenderung bersetuju dengan kenyataan seperti 'ia selamat untuk tidak mempercayai sesiapa'. ''Keterangan ini membuktikan sikap tidak percaya seseorang.
''Wanita sinis juga mencatat kadar 16 peratus kematian berbanding wanita yang lebih mempercayai orang lain,'' kata Tindle yang membentangkan penemuan kajiannya kepada mesyuarat tahunan Persatuan Psikosomatik Amerika.
Tambah beliau, 23 peratus wanita sinis juga boleh mati disebabkan kanser.
Bagaimanapun Tindle berkata, berdasarkan kajian itu, sikap negatif tidak mempengaruhi kesihatan seseorang, namun penemuan kajian menunjukkan faktor kesihatan dan sikap mungkin berkaitan antara satu sama lain.
''Saya rasa kita perlu menjalankan lebih kajian untuk mencari terapi bagi sikap manusia dan melihat adakah sikap itu boleh diubah suai bagi kepentingan kesihatan,'' katanya.
Sementara itu, katanya, wanita pesimis sering menganggap mereka ditakdirkan dengan nasib malang dan tidak boleh berbuat apa-apa. - Reuters
sumber: http://utusan.com.my/ 07.03.09
Fikirkan positif tentang kehidupan ini semoga hanya yang positif sahaja akan kita perolehi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan