Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun lalu.
Jumlah kes perceraian itu didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, daripada keseluruhan kes pada tahun lepas, Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 2,023 kes manakala catatan terendah ialah di Perlis iaitu 24 kes.
Menurut Mashitah, antara punca perceraian ialah tiada persefahaman dalam menguruskan rumah tangga, suami atau isteri terbabit dengan hubungan orang ketiga dan poligami.
‘‘Selain itu, wujudnya campur tangan keluarga secara berlebihan dan tekanan bebanan kerja sehingga masa untuk bersama keluarga diabaikan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd. Jidin Shafee (BN-Setiu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mashitah berkata, jumlah kes perceraian di negeri lain pada 2008 ialah Kedah sebanyak 1,561 kes, Kelantan (1,386), Selangor (1,138), Perak (1,081), Terengganu (881), Melaka (675), Sarawak (571), Pahang (524), Wilayah Persekutuan (380), Sabah (346) dan Negeri Sembilan (78).
Katanya, bagi menangani masalah membabitkan perceraian, kerajaan menubuhkan sulh di setiap mahkamah Syariah bagi menyelesaikan isu di peringkat awal sebaik saja difailkan di mahkamah.
Menjawab soalan tambahan Mohd. Jidin sama ada hanya mahkamah dibenarkan membuat keputusan mengenai perceraian, Mashitah berkata, ia wajib dilakukan di mahkamah untuk mengelak berlakunya penganiayaan kepada mana-mana pihak.
‘‘Lafaz perceraian wajib difailkan di dalam mahkamah untuk mengelakkan berlakunya penganiayaan pada mana-mana pihak dan membolehkan sulh memanggil kedua-dua pihak bagi menjalani kaunseling untuk mengelakkan perceraian,” katanya.
sumber : http://utusan.com.my/ 03.03.09

Tiada ulasan:
Catat Ulasan