27 April 2009

Bapa rayu bantu cari anak perempuan hilang



Nur Farah Suhana Ahmad Anwar

KLUANG: Seorang pengusaha kedai makan di Kampung Melayu, di sini, Ahmad Anwar Wahab, 36, merayu bantuan orang ramai untuk mengesan anak perempuannya yang hilang sejak dua minggu lalu.


Kehilangan Nur Farah Suhana Ahmad Anwar, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn, di sini, disedarinya 13 April lalu ketika beliau menjemput anak tunggalnya itu di sekolahnya.


Ahmad Anwar menjemput anaknya pada jam 2 petang setiap hari, tetapi pada hari kejadian beliau terlewat 30 minit kerana terpaksa menyelesaikan beberapa urusan penting.

Beliau berkata, setibanya di sekolah kira-kira jam 2.30 petang, beliau tidak melihat anaknya. "Saya bertanya beberapa orang di depan sekolah itu, tetapi mereka tidak melihatnya dan saya berjumpa rakan Nur Farah, mereka juga tidak mengetahui apa-apa.


"Selepas puas mencari sekitar Kluang dan ke rumah semua kenalan Nur Farah, saya menghubungi keluarga di seluruh negara dengan harapan dia ada di rumah mereka, namun semuanya hampa," katanya.


Beliau membuat dua laporan di Balai Polis Kluang pada 14 dan 20 April lalu, namun sehingga kini polis juga tiada maklumat. Ahmad Anwar berkata, Nur Farah turut membawa kad pengenalan dan telefon bimbit, bagaimanapun beliau gagal dihubungi.


"Saya bimbang dengan keselamatan Nur Farah yang kematian ibunya sejak umurnya 10 tahun. Kami tidak berselisih faham dan hubungan dia dengan mak ciknya (ibu tiri) juga baik," katanya.


Beliau merayu orang ramai yang ada maklumat Nur Farah menghubunginya di 012-7545712/017-7000634 atau maklumkan kepada balai polis berhampiran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan