Pulau Pinang kuat kuasa meliputi kakitangan awam, pasukan beruniform
GEORGETOWN: Kakitangan awam di Pulau Pinang termasuk anggota pasukan beruniform boleh dikompaun sehingga RM500 dan dikenakan tindakan tatatertib jika didapati merokok di tempat awam, berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan itu yang dilihat drastik khususnya ke atas pasukan beruniform adalah sebahagian daripada program Inisiatif Larangan Merokok Pulau Pinang yang dilancarkan, semalam.
Kerajaan negeri sudah memaklumkan arahan itu kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata inisiatif itu sebahagian daripada usaha membantu kempen antirokok yang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Kami juga mengisytiharkan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tempat larangan merokok supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Phee berkata, tindakan penguatkuasaan ke atas pegawai kerajaan terutama pasukan beruniform dilakukan kerana kehadiran mereka di sesuatu tempat turut membawa imej pasukan dan kerajaan.
Beliau berkata, tindakan itu bukan dasar baru oleh kerajaan negeri kerana ia sudah termaktub di dalam undang-undang, tetapi tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.
"Jika didapati merokok, mereka boleh dikompaun sehingga RM500 dan didakwa di mahkamah jika enggan menjelaskannya," katanya.
Beliau juga menjelaskan kakitangan awam terbabit juga boleh dikenakan tindakan tatatertib atas kesalahan itu.
"Perkara (tindakan disiplin) itu akan diputuskan oleh jabatan masing-masing," katanya.
Mengenai aspek penguatkuasaan, Phee berkata, kerajaan negeri sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan yang akan mengambil tindakan.
Beliau berkata, keputusan kerajaan negeri menjadikan bangunan DUN dan pekarangan bangunan itu kawasan larangan merokok membuktikan komitmen ke arah mewujudkan sebuah negeri yang bebas daripada perokok.
Katanya, tindakan itu adalah satu permulaan yang baik kerana DUN adalah tempat penggubal undang-undang berbahas bagi membentuk sesuatu undang-undang demi kepentingan dan kebaikan rakyat.
"Keputusan ini bukan kerana mahu menjadi popular tetapi melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat," katanya.
sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20090415075509/Article/index_html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan