13 Mei 2009

Hanya 480 bas ekspres selamat

Syarikat tidak penuhi piawaian: JPJ


PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan, hanya 480 daripada lebih 52,000 bas ekspres yang beroperasi di negara ini ketika ini memenuhi piawaian keselamatan penumpang seperti ditetapkan kerajaan pada 2007.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan, berkata kajian Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati, masih banyak syarikat bas ekspres tempatan belum menukar badan bas mengikut piawaian R66 ECE (Suruhanjaya Ekonomi Eropah) yang diwajibkan kerajaan sejak 2007.

Katanya, pematuhan piawaian R66 ECE bagi bas baru diwajibkan kerana struktur bumbung yang kuat mampu mengurangkan risiko kematian ketika kemalangan.

“Struktur badan kenderaan yang tidak menepati piawaian keselamatan menjadi punca utama kematian penumpang bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di negara ini.

“Ini juga penting bagi memastikan syarikat pengusaha bas sentiasa mementingkan keselamatan penumpang seperti mengikut Standard Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE),” katanya

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata pihaknya bercadang mengumumkan nama syarikat bas ekspres yang mematuhi SHE bagi membolehkan orang ramai memilih bas yang selamat dinaiki ketika membeli tiket di seluruh negara pada masa depan.

Katanya, sehingga kini, hanya 22 daripada 187 pengusaha bas di negara ini sudah melaksanakan kod etika SHE dalam operasi harian mereka.

“Kita perlu memberi kuasa kepada penumpang untuk memilih perkhidmatan bas yang selamat digunakan. Ini penting kerana sehingga kini hampir semua bas mematuhi kod SHE tidak terbabit dengan kemalangan jalan raya,” katanya.

sumber:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20090513075034/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan