18 Mei 2009

Mayat bayi ditemui dalam tong sampah

KUALA LUMPUR 17 Mei - Apa sudah jadi dengan segelintir masyarakat di negara ini? Adakah rasa perikemanusiaan sudah hilang hingga sanggup membunuh bayi yang tidak mengerti apa-apa?

Itulah nasib menimpa bayi lelaki yang masih bertali pusat tidak sempat menikmati kehidupan apabila dibuang dengan kejam dalam tong sampah di belakang sebuah kedai makan di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini malam tadi.

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui dibungkus dengan kertas surat khabar oleh pekerja kedai makan tersebut yang ingin membuang sampah kira-kira pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mayat itu ditemui dalam keadaan tertonggeng iaitu kepalanya menghala ke bawah tong sampah.

"Badan bayi tersebut masih terdapat kesan darah, dipercayai baru dilahirkan sebelum dibuang ke dalam tong sampah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya tidak menemui sebarang kesan luka atau cedera pada badan mayat itu.

"Keturunan bayi itu masih belum dikenal pasti tetapi berkulit cerah. Polis akan menjalankan siasatan rapi termasuk mengesan orang yang bertanggungjawab membuangnya," tegasnya.

Zulkarnain berkata, pihaknya sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat.

Katanya, mayat bayi malang berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-20702222.


sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2009&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm



Dimanakah letaknya nilai diri bila sebahagaian individu dalam masyarakat kita hari ini sanggup membuang bayi yang tidak berdosa ini. ......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan