20 Mei 2009

Terkejut bungkusan diserah ada bayi

KOTA BHARU: Seorang pekerja kilang terkejut apabila seorang gadis turun dari kereta di hadapan rumahnya di Kampung Dusun Durian, di sini, dan menghulurkan bungkusan kain batik mengandungi bayi perempuan yang baru dilahirkan, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, sebaik pekerja kilang berusia 24 tahun itu menyambut bungkusan berkenaan, gadis terbabit meluru semula ke kereta Proton Wira berwarna biru gelap yang dipandu seorang lelaki sebelum memecut laju.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata pekerja kilang terbabit kemudian mendapati bungkusan berbalut kain batik yang diserahkan kepadanya itu berisi seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat.

"Dia bergegas membawa bayi terbabit ke Hospital Raja Perempuan Zainab II sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Setakat ini, kita masih menyiasat kejadian itu, termasuk mengesan ibu bayi terbabit," katanya kepada media di pejabatnya, semalam.

Zahruddin berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Dr Mohamad Ismail ketika dihubungi, berkata bayi seberat 3.2 kilogram itu berada dalam keadaan stabil.

"Bayi terbabit kini ditempatkan di wad jagaan khas bayi sementara tindakan lanjut diambil oleh polis," katanya.

sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20090520004915/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan