KUALA LUMPUR 14 Feb. - Wanita yang terjebak dengan masalah mengandung anak luar nikah diminta segera mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa sebarang tindakan akan dikenakan ke atas mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang memberi jaminan itu berkata, pihaknya akan menjaga dan membimbing mereka dengan baik.
Sehubungan itu, katanya, semua pegawai JKM telah diarahkan bersedia 24 jam untuk memberikan bantuan kepada mereka yang bermasalah dari mengambil tindakan membuang bayi sebagai jalan penyelesaian.
"Para pegawai JKM di seluruh negara juga akan bertindak mengenal pasti golongan yang menghadapi masalah di daerah masing-masing.
"JKM hanya akan berkeras dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap lelaki atau bapa yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas bayi yang dilahirkan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas jenayah buang bayi terbaru semalam di Kuala Krai, Kelantan yang mana mayat bayi dijumpai dalam keadaan rentung dengan tali pusatnya masih segar dan uri melekat ditubuh.
Lebih memilukan apabila bayi tersebut dijumpai di dalam tong sampah yang dipenuhi dengan timbunan rumput, kayu dan kepingan zink yang dibakar bersama-sama.
Menurut Shahrizat, kementeriannya prihatin dan amat memahami nasib yang dialami oleh golongan wanita yang menjadi mangsa keadaan itu.
"Oleh itu, kita tidak boleh terlalu menyalahkan mereka sahaja, tetapi kita tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan lelaki yang terlibat.
"JKM sedia menerima ibu dan anaknya untuk diberi penjagaan yang lebih baik,'' katanya.
Dalam pada itu, Shahrizat meminta wanita yang sedang mengandungkan anak luar nikah atau yang telah melahirkan supaya tidak mengikut perasaan dengan mengambil jalan singkat.
"Janganlah buat perkara-perkara yang kejam, jika tidak mahu memelihara anak itu dan berasa malu untuk tampil ke pihak berkuasa sekurang-kurangnya letakkan anak itu di tempat yang selamat,'' katanya.
sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm
p.s : Di setiap hospital juga ada Unit Kerja Sosial Perubatan yang mampu membantu ibu tanpa nikah dalam membantu menyelesaikan masalah ini. So tak perlu melakukan atau ambil jalan singkat dengan membuang bayi yang tidak berdosa. Kami sedia membantu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan