LONDON 20 Feb. - Lelaki yang menikmati makanan ringan bergoreng
lebih sekali seminggu bakal meningkatkan risiko diserang kanser prostat
sebanyak 30 peratus, menurut satu kajian.
Kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Kanser
Fred Hutchinson, Seattle mendapati makanan ringan seperti kentang goreng, ayam
goreng, ikan goreng yang bersadur tepung dan donat memainkan peranan penting
dalam membentuk penyakit berbahaya itu.
"Kajian ini yang pertama mengaitkan antara pengambilan
makanan ringan bergoreng dengan risiko kanser prostat," kata Ketua
Penyelidik, Dr. Janet Stanford.
Beliau berkata, menikmati makanan ringan bergoreng sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu meningkatkan risiko kanser antara 30 hingga 37 peratus, berbanding lelaki yang hanya makan makanan tersebut kurang dari sekali sebulan.
Kajian tersebut dilakukan terhadap 1,549 lelaki yang dikesan
menghidap kanser prostat dan 1,492 lelaki sebaya yang sihat. Kesemua peserta
berusia antara 35 hingga 74 tahun dan mereka disoal mengenai tabiat pemakanan.
Menurut perangkaan, hampir 40,000 kes kanser prostat dikesan setiap tahun di United Kingdom dan 10,000 lelaki maut akibat penyakit itu.
Risiko kanser meningkat melalui pertambahan usia dan lelaki
berusia 50 tahun mula dilihat lebih mudah diserang tumor, namun ia juga
bergantung kepada elemen genetik.
Bagaimanapun, punca utama mengapa kentang goreng dan ayam goreng mengundang risiko kanser masih belum jelas.
Satu teori mengatakan, apabila minyak masak dipanaskan pada suhu
yang tinggi bagi kaedah goreng tenggelam, bahan karsinogen yang
bertanggungjawab dalam proses pembentukan sel kanser akan terbentuk dalam
makanan yang digoreng itu. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan