29 Mac 2009

3Q perkasakan Puteri relevan

Kecerdasan intelektual, emosi dan spiritual asas kejayaan bangsa
KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad menggariskan pendekatan 3Q ke arah memperkasakan Puteri Umno dalam mendepani cabaran politik semasa dan melahirkan ahli Puteri berkualiti dan berintegriti. Tiga pendekatan berkenaan ialah Kecerdasan Intelektual (IQ), Kecerdasan Emosi (EQ) dan Kecerdasan Spiritual (SQ).

Noraini yang berucap buat kali terakhir sebagai peneraju pergerakan itu berkata, amat penting bagi ahli Puteri memanfaatkan setiap peluang untuk menajamkan ilmu pengetahuan atau IQ kerana ilmu itu adalah asas kepada kejayaan sesuatu bangsa.
Dari segi EQ, katanya, setiap warga Puteri perlu tahu kaedah relevan seperti psikologi untuk memahami dan mendalami emosi golongan muda kerana 57 peratus pengundi hari ini adalah golongan muda dan menjelang 2013 dua juta pemilih baru adalah golongan muda. "Kekuatan IQ dan EQ tidak akan sempurna jika tidak didukung dengan landasan utama iaitu kekuatan spiritual atau SQ.



"Keikhlasan dalam memberi khidmat adalah berasaskan kepada kekentalan SQ yang ada dalam diri kita dan akhirnya kita berupaya memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan dan sumbangan," katanya dalam ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung Puteri Umno.
Noraini yang mengambil alih teraju kepemimpinan Puteri Umno pada 2004 daripada Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendekatan 3Q akan menjadi kayu pengukur kepada piawai pemikiran yang matang dan menyumbang kepada urusan pentadbiran negara.
"Saya yakin seandainya asas ini mampu kita garap dan dijadikan pedoman hidup, aspirasi untuk melahirkan Puteri yang berilmu, berketrampilan dan kuat jati diri akan tercapai," katanya.
Peranan sayap Puteri yang kini mempunyai 328,165 ahli, kata beliau, amat relevan demi keutuhan parti, justeru persiapan harus mengambil kira jumlah pengundi muda yang akan terus meningkat dan peningkatan 'civil society' di kalangan masyarakat.


Noraini berkata, senario politik terkini menyaksikan pola pemikiran rakyat sudah banyak beranjak dengan sebahagian besar kelompok pemilih adalah golongan muda yang tidak pernah merasai pahit getir mencapai kemerdekaan dan ada yang tidak merasai pun pergolakan kaum pada 13 Mei 1969.
Keadaan ini, katanya, menuntut ahli Puteri mencari kaedah lebih realistik dan efektif untuk mendekatkan lagi aspirasi perjuangan parti dengan rakyat di akar umbi.
"Justeru, setiap ahli Puteri perlu lebih kerap turun padang, bukan secara bermusim atau untuk menunjuk-nunjuk," katanya yang mahu setiap ahli Puteri memulakan perubahan dan pembaharuan dengan lebih berani.
Mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam bahasa Inggeris, beliau berkata, Puteri tidak bersetuju dengan pendapat bahawa PPSMI menidakkan bahasa Melayu dengan skop pelajaran harus dilihat dari sudut penguasaan pelbagai jenis ilmu.
"Penting untuk kita menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia, bahasa kedua dan pada masa sama kita tidak harus sama sekali mengabaikan bahasa Melayu," katanya yang mahu setiap isu nasional diselesaikan di meja rundingan, bukan menerusi demonstrasi atau konfrontasi.
sumber: http://bharian.com.my/ 26.03.09

Tiada ulasan:

Catat Ulasan