05 Mac 2009

Halal Haram Dalam Makanan

Khutbah Jumaat - 28 NOVEMBER 2008
Sidang jumaat yang dirahmati allah,

Marilah kita sama-sama bertakwa kepada allah s.w.t dengan sebenar-benar bertakwa,dengan mematuhi segala perintahnya serta menjauhi segala larangannya.

Umat islam dituntut mengikut syariat islam yang telah mengatur kehidupan manusia ini dengan lengkap dan sempurna. Merangkumi segala aspek kehidupan manusia sehinggalah kepada pemilihan makanan untuk manusia itu sendiri perlu berlandaskan syariat al-quran dan as-sunnah.

Prinsip halal adalah salah satu perkara yang sangat dititik beratkan dalam pemilihan makanan mengikut syariat islam. Prinsip halal ini secara umumnya melibatkan dua perkara:

Pertama , bagaimana sesuatu benda itu diperolehi. Samada ia diperolehi daripada sumber yang halal atau haram seperti memiliki harta curi, perjudian, rasuah, penipuan dan lain-lain lagi yang diharamkan dalam syariat islam.

Kedua,adakah zat atau barangan itu sendiri halal atau sebaliknya. Syariat islam telah menetapkan supaya setiap penganutnya memakan makanan halal sahaja.

Firman allah s.w.t dalam surah al-baqarah ayat 168 :"Wahai sekalian manusia!, makanlah daripada apa yang ada dibumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan,kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu".

Sehubungan itu,pemilihan makanan halal lagi baik perlu diambil berat oleh setiap umat islam. Ini bertujuan memastikan makanan itu tidak memudaratkan manusia itu sendiri. Makanan yang suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Justeru, disamping kita memilih makanan yang berzat dan berkhasiat.

Adalah lebih penting lagi pada masa yang sama,kita juga perlu memastikan makanan tersebut dijamin bersih dan suci mengikut hukum syarak.

Sidang jumaat yang dirahmati allah,
Umat islam hari ini begitu terdedah kepada pelbagai jenis makanan dan minuman yang berada dipasaran khususnya prodak makanan import yang rata-rata datangnya dari negara bukan islam atau diusahakan oleh orang bukan islam yang pastinya menimbulkan banyak persoalan berkaitan masalah-masalah produk ini kerana diakui adalah bukan mudah untuk kita mengenali sumber bahan-bahan tersebut atau dengan kata lain tidak mudah untuk kita menentukan permasalahan bahan tersebut, sedangkan rasulullah s.a.w bersabda:"Tinggalkanlah apa yang meragukan untuk menuju kepada sesuatu yang tidak meragukan".

Sidang jumaat yang dimuliakan,
Allah memerintahkan umat islam supaya makan makanan yang halal lagi baik sahaja, kerana banyak hikmah tersendiri disebalik perintahnya ini. Makanan merupakan ciri utama dalam pembentukkan fizikal yang sihat bagi manusia.

Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap pemilihan makanan halal,suci dan bersih dalam pemakanan hariannya pasti akan lahir dalam dirinya keimanan dan nur yang dapat memandu jiwanya kearah ketakwaan dan peningkatan ibadatnya kepada allah. Pemilihan makanan yang bersih dan halal menjadi keutamaan dalam ajaran islam.

Makanan yang haram samada ia daripada bahan yang dicampur najis atau benda bersumberkan punca yang tidak halal akan mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakanannya:

Pertama - Makanan itu akan mempengaruhi jiwa pemakannya sehingga dia lebih gemar membuat kejahatan dan maksiat serta benci kepada kerja-kerja kebajikan dan ketaatan.

Kedua - Doanya tidak akan dimakbulkan oleh allah.

Ketiga - Dia akan mendapat siksaan dineraka allah pada hari kiamat kelak.

Sabda rasulullah s.a.w:"Setiap daging yang tumbuh daripda makanan yang haram,maka api nerakalah yang layak baginya".

Abu Hurairah r.a, rasulullah s.a.w bersabda lagi:"Sesungguhnya allah taala itu baik,tidak ia terima melainkan yang baik.sesungguhnya allah memerintah orang-orang mukmin dengan apa yang ia perintahkan kepada sekalian rasul.

Maka allah s.w.t berfirman : ya sekalian rasul!, makanlah dari yang baik-baik dan beramallah akan yang baik. Dan ia berfirman : ya sekalian orang yang beriman!, makanlah dari segala yang baik-baik yang kami telah rezekikan kepada kamu. Kemudian ia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya menghulurkan dua tangannya kelangit (berdoa) ya tuhanku!,ya tuhanku!, pada hal makannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya itu?".

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-baqarah ayat 172:"Wahai orang yang beriman!, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) daripada apa yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada allah, jika kamu benar-benar hanya beribadat kepadanya".

Sidang jumaat yang dimuliakan,
Rahsia disebalik pengharaman atau larangan allah dalam al-quran terhadap makanan-makanan yang jelas haram dimakan juga telah berjaya dibongkar melalui kajian sains oleh para saintis masa kini.

Misalnya, allah s.w.t telah mengharamkan daging babi dan kajian ini disokong oleh kajian saintifik yang membuktikan bahawa terdapat cacing pita dan virus japanes enceplytis dalam babi. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh.

Selain daripda cacing yang membawa kuman dan virus JE yang didapati pada babi tersebut, ia juga melihat kepada kesan buruk pembawaan perangai dan sifat babi yang amat buruk. Seolah-olah memiliki sikap dan perangai binatang tersebut yang tidak mempunyai cita-cita kecuali makan dan bekerja untuk habuan perutnya sahaja yang menyebabkan hancur dan hilangnya kebahagiaan, keselesaan dan ketenangan dalam kehidupan.
Bahkan pendekatan hidup mereka bebas mengamalkan konsep dan memperjuangkan kebebasan sepenuhnya tanpa sebarang ikatan nilai-nilai akhlak, peraturan, muamalat dan undang-undang allah s.w.t.

Firman allah s.w.t dalam surah al-baqarah ayat 173:"Sesungguhnya allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana allah...."

Maka jelaslah disini bahawa,perintah allah supaya kita memilih makanan yang hahal dan baik adalah untuk kebaikkan manusia itu sendiri dan bukannya untuk memudaratkan kesihatan manusia. Selain itu, pemilihan makanan yang halal akan menjamin kesejahteraan hidup seseorang didunia dan diakhirat.

Sidang jumaat yang dimuliakan,
Alhamdulillah, kerajaan negeri Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor serta kerjasama pihak berkuasa yang lain sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan keatas produk makanan, barang gunaan serta premis makanan dipasaran bagi memastikan ianya benar-benar halal.

Walau bagaimanapun, kerja sama yang berterusan daripada masyarakat juga sentiasa diharapkan dalam usaha membantu kerajaan dengan menjadi mata telinga dalam memberikan maklumat-maklumat dan menyalurkan sebarang keraguan terhadap bahan makanan atau produk gunaan serta penyalahgunaan logo halal. Justeru,sebarang penyelewengan, penipuan dan penyalahgunaan logo halal dapat dicegah dan diambil tindakkan segera bagi mengelakkan umat islam daripada terus ditipu.

Sidang jumaat yang dimuliakan,
Statistik permohonan sijil pengesahan halal negeri Selangor menunjukkan kebanyakkan pemohon atau pemegang sijil pengesahan halal, Majlis Agama Islam Selangor adalah terdiri daripada pengusaha makanan yang bukan beragama islam. Sebagaimana yang telah dijelaskan diawal khutbah ini, amatlah menyedihkan apabila didapati golongan pengusaha makanan yang beragama islam yang membuat permohonan sijil pengesahan halal adalah terlalu kecil jumlahnya berbanding pengusaha bukan islam.
Pengusaha-pengusaha bukan islam dilihat bersungguh-sungguh serta komited untuk mendapatkan pengiktirapan sijil pengesahan halal untuk produk-produk keluaran syarikat mereka untuk dipasarkan,sedangkan pengusaha kita yang beragama islam tidak memandang keperluan pengiktirapan halal ini sebagai satu peluang serta daya tarikkan untuk melariskan produk-produk keluaran mereka kerana beranggapan pengguna sudah yakin dengan produk yang diusahakan oleh orang islam.

Justeru, golongan pengusaha makanan muslim adalah diseru untuk membuat permohonan untuk mendapatkan pengiktirapan sijil pengesahan halal keatas produk keluaran syarikat mereka dalam usaha untuk meningkatkan lagi pasaran serta dapat bersaing dengan pengusaha-pengusaha bukan islam yang nyata tidak dapat memahami secara menyeluruh tentang konsep halal haram yang perlu didiperkatikkan dalam perusahaan mereka berlandaskan syariat islam yang sebenar.

Sidang jumaat yang dimuliakan,
Prisip asas dalam pengeluaran sijil pengesahan halal yang dikeluarkan oleh jabatan agama islam negeri khususnya dinegeri selangor atau JAKIM adalah cukup jelas. Sesuatu makanan itu bukan sahaja perlu halal tetapi juga baik (Halalan Thoiyiba),iaitu tidak memudaratkan penggunaan. Segala aspek kesihatan,kebersihan dan keselamatan turut diambil perhatian dalam meluluskan permohonan sijil pengesahan halal selain menitik beratkan aspek berkaitan bahan-bahan ramuan yang diguna pakai dalam penghasilan produk barang gunaan.

Justeru, apakah pula peranan kita sebagai ahli masyarakat yang prihatin terhadap amalan pemakanan halal ini?. Dengan wujudnya logo halal yang dikeluarkan kepada pengusaha makanan ini, maka kita perlu menggunakan kuasa yang ada pada kita sebagai pengguna untuk memilih premis atau produk yang telah disahkan halal oleh pihak berkuasa agama sahaja.

Pengguna adalah dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya membeli atau mendapatkan makanan dipremis-premis makanan tanpa rasa syak atau bertanya adakah makanan yang disajikan kepada kita benar-benar halal dan adakah dapur atau tempat penyediaan makanan tersebut bersih dan diselia oleh tukang masak beragama islam?.

Oleh itu, kita sebagai umat islam hendaklah sentiasa berhati-hati memilih makanan bagi memastikan apa yang kita makan benar-benar halal.Mudah-mudahan dengan demikian kita terhindar daripada azab allah dan tidak termasuk kedalam golongan orang-orang yang melanggar ketentuan hukum allah.

"Orang yang menyahut seruan tuhan mereka akan memperoleh balasan yang sebaik-baiknya.Sedangkan orang (yang ingkar) yang tidak menyahut seruannya,sekiranya mereka mempunyai segala apa jua yang ada dibumi disertai dengan sebanyak itu lagi, nescaya mereka akan menebus diri dengan kekayaan itu (daripada azab).Mereka itu disediakan hitungan hasab yang seburuk-buruknya , serta tempat kembali mereka ialah neraka jahannam,itulah seburuk-buruk tempat kediaman".

Ya-allah,engkaulah tuhan yang maha berkuasa,kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadratmu ya-allah, tetapkanlah iman kami,tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami dengan kejalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Sumber:
http://jais.net.my/
n-l
Berhati-hatilah memilih makanan semoga hanya yang halal lagi baik sahaja yang menjadi makanan dalam kehidupan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan