24 Mac 2009

Istimewanya gadis bernama Nik Nur Madihah

PEPATAH ada berkata, permata jika dibuang ke laut akan menjadi pulau, dibuang ke lumpur akan tetap bercahaya.

Itulah keunikan batu permata, seunik kecemerlangan gadis Melayu bernama Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, yang memperoleh 19 A1 dan satu A2 di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Nur Madihah dianugerahkan pakej lengkap sebagai gadis Melayu alaf baru, cantik bijak dan bersopan santun.

Mengukur kejayaannya, sebesar cita-citanya juga yang ingin menjadi ahli Fizik serta berminat melanjutkan pelajaran ke Asia Barat untuk mendalami bahasa Arab.


''Saya belum membuat keputusan. Saya akan melakukan sembahyang istikharah untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT bagi membuat pilihan terbaik tempat melanjutkan pelajaran,'' katanya ketika beberapa tawaran melanjut pelajaran tiba kepadanya.

Begitu telus jawapannya. Sejuk hati ibu yang mengandung sembilan bulan sembilan hari.

Sesungguhnya Nur Madihah anak yang menginsafi kepayahan dan pengorbanan ibu dan bapa.

Tuhan menguji ibu bapanya dengan mengurniakan perjalanan hidup yang begitu unik buat Nur Madihah. Kejayaan yang dicipta Nur Madihah merubah hidupnya dalam sekelip mata.

Jika dulu dia belajar dengan apa yang ada, kini rezekinya ibarat bulan jatuh ke riba. Tanpa diminta, tanpa dirayu, semuanya tersedia di depan mata.

Dia ditawarkan biasiswa penuh oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pelajaran ke UK di peringkat A Level.

Bank Negara dan Petronas yang turut menawarkan biasiswa kepadanya pula percaya hajat Nur Madihah mempelajari bahasa Arab akan tercapai tetapi tempat terbaik untuknya mencapai cita-cita menjadi ahli Fizik adalah di UK.

Begitu murah rezeki Nur Madihah selepas kejayaannya diketahui seluruh negara.

Malah saya pasti ketika gambar rumahnya terpapar di muka depan akhbar Utusan Malaysia pada hari Sabtu 14 Mac lalu, ramai yang tersentuh hati.

Jika tidak pun menitis air mata tentu ramai yang mengeluh dan menggeleng kepala dengan kehidupan sukar yang dilalui gadis pintar ini.

Mungkin tiada siapa pernah terfikir di rumah usang yang menjadi tempat dia berteduh daripada hujan dan panas itulah Nur Madihah menggilap kepintarannya.

Kejayaan Nur Madihah telah membuka mata masyarakat terutama mereka yang selama ini meletakkan kesukaran hidup sebagai halangan untuk berjaya.

Nur Madihah telah membuktikan ketidakselesaan dan kekurangan bukan penghalang untuk berjaya seperti orang lain tetapi itulah kekuatan yang menjadi pendorong kepadanya untuk mengubah nasibnya dan keluarga serta membahagiakan ibu bapa yang telah banyak berkorban.

Ketika saya menghubungi Nur Madihah menerusi telefon kira-kira pukul 9 malam Khamis lalu, dia berada di Kuala Lumpur bersama guru pembimbingnya Razali Konak untuk berbincang mengenai tawaran biasiswa daripada Bank Negara.

Mesra dia menyambut salam kala saya memperkenalkan diri dan meminta maaf kerana menganggu masanya sambil melontarkan hajat untuk berbual seketika dengannya.

Tergelak kecil dia apabila saya berulang kali mengucap tahniah dan puji-pujian sambil memberi kata-kata perangsang.

Kepada saya, Nur Madihah mengulangi hajatnya untuk menjadi ahli Fizik dan berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut di mana-mana universiti luar negara.

''Saya akan berusaha ke arah itu dan akan belajar sungguh-sungguh bagi mencapai impian tersebut dengan cara saya,'' ujar Nur Madihah yang turut mengaku akan merindui keluarganya apabila berpisah nanti.

Kata Nur Madihah, untuk berjaya seseorang itu perlu berkorban dalam apa juga perkara termasuk meninggalkan orang-orang yang disayangi.

''Saya telah bersedia menghadapi keadaan itu. Saya menyifatkan pemergian saya nanti sebagai satu perjalanan mencari pengalaman dan ilmu untuk membaiki diri dan demi masa depan. Saya berdoa dan berharap Allah akan melindungi saya sepanjang merantau dan mengkabulkan impian saya menjadi ahli Fizik,'' tenang suaranya menyentuh hati saya.

Sambil mengusik saya bertanya perasaannya menjadi selebriti dalam sekelip mata.

Jawapan Nur Madihah, ''saya tidak pernah meminta jadi popular seperti hari ini. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Saya juga tidak mengharapkan ganjaran yang begini hebat.

''Saya ikhlas belajar sungguh-sungguh untuk berjaya tanpa memikirkan apa-apa sasaran. Tapi Allah Maha Kaya, Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Dan saya terima anugerah yang Dia berikan ini dengan penuh insaf. Kejayaan ini adalah anugerah Allah yang tidak ternilai untuk saya,'' tenang suaranya memberi jawapan.

Popular atau tidak bukan apa yang diimpikan oleh Nur Madihah, namun ketentuan Allah diterima dengan reda.

''Saya menerima beratus-ratus mesej dan panggilan telefon sejak kejayaan saya tersiar dalam akhbar. Syukur alhamdulillah. Saya berterima kasih kepada semua yang bertanya khabar dan mengucap tahniah dan menghulurkan bantuan. Ini juga satu kejutan dan rahmat yang dikurniakan kepada saya. Hanya Allah yang akan membalasnya.'' tambahnya.

Tidak lupa kepada rakan sekolah dan guru-guru yang selalu menceriakan hidupnya, Nur Madihah memberitahu dia belum sempat menemui mereka kerana cuti sekolah tetapi akan berbuat demikian secepat mungkin.

Begitulah jiwa Nur Madihah. Sentiasa akrab di hati dengan sesiapa sahaja, khasnya ibu tersayang, Mariani Omar dan bapanya Nik Mohd. Kamal.

Lalu teringat saya akan luahan hati ibunya yang amat sayu melihat Nur Madihah terpaksa berpuasa dan hanya memakan roti kerana kesempitan hidup.

Sayangnya Mariani hanya mampu mencium dan memeluk Nur Madihah dengan linangan air mata tanda bersyukur.

Tidak ada sorakan dan tepukan gemuruh dan kibaran sepanduk ketika Nur Madihah diumumkan pelajar cemerlang. Tidak ada komen daripada para juri profesional mahupun juri SMS.

Juga tidak ada jambangan bunga atau hadiah lumayan seperti kebanyakan program realiti yang disertai remaja lain.

Sebabnya? kejayaan Nur Madihah bukan dalam bidang yang glamor dan penuh ceria. Yang di peroleh dan dipegang oleh Nur Madihah hanyalah sekeping slip keputusan peperiksaan yang menobatkan dia sebagai pelajar cemerlang negara.

Nur Madihah juga tidak minta diberi perhatian sedemikian rupa tetapi satu yang kita harus ingat, kepayahan hidup Nur Madihah patut menjadi iktibar kepada anak-anak kita yang mahu berjaya dan memajukan diri.

Bayangkan sebuah rumah usang yang dibahagi dua, satu sebagai ruang tamu untuk mereka berehat dan satu lagi yang di lindungi almari dijadikan tempat mengulang kaji pelajaran setiap hari.

Cuba bandingkan pula suasana ini dengan kehidupan anak-anak yang diberikan bilik eksklusif untuk belajar, lengkap dengan televisyen, komputer dan meja tulis yang cantik dan kemas. Sayangnya, waktu untuk belajar di sia-siakan dan digunakan untuk menonton video, mendengar CD atau bermain games.

Ada juga ibu bapa yang memberi tuisyen berlebihan kepada anak-anak sehingga tidak ada masa untuk berehat.

Hujung minggu sibuk pula menghadiri kokurikulum atau ke kelas berenang atau bermain muzik. Begitu hebat didikan yang diterima tetapi sampai ke mana berjayanya mereka?

Ada yang cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi tetapi ada juga yang kantoi... membazir wang saja. Tapi ibu bapa tidak pernah merungut, semuanya kerana gaya hidup. Namun bagi Nur Madihah, ujian dan cabaran adalah gaya hidupnya, selebihnya adalah pengorbanan.

Syabas buat Nur Madihah. Teringin amat saya bertemu dengannya. Banyak yang ingin saya tanya pada gadis Melayu alaf baru ini. Teruskan perjuangan dan cita-cita. Pada saya Nur Madihah bakal mengangkat martabat generasi muda wanita Malaysia.

Semoga Nur Madihah mendapat apa yang diidamkannya. Mudah-mudahan sembahyang istikharah akan memberinya petunjuk terhadap apa yang terbaik untuk masa depannya.

Pesanan saya buat Nur Madihah, jangan melihat pahitnya kehidupan tetapi lihatlah kemanisan dan keindahan keindahan disebalik kepahitan itu kerana di situ ada kebahagiaan.

Menutup catatan, saya ulangi kata-kata Nur Madihah untuk renungan kita bersama: ''Saya belajar tanpa mengharapkan ganjaran yang hebat, tetapi Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Saya bersyukur!

sumber: http://utusan.com.my/ 23.03.09

Tiada ulasan:

Catat Ulasan