23 Mac 2009

Melamin dalam makanan ternakan?

BEIJING 28 Okt. - Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menggesa China supaya mendedahkan jika melamin yang ditemui dalam produk tenusu, turut digunakan dalam makanan ternakan dan makanan lain.

Pegawai Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB, Zhang Zhongjun berkata, kebimbangan meningkat mengenai bahan kimia itu turut digunakan dalam ternakan seperti ikan dan daging, selepas ia dikesan dalam telur ayam yang dijual di Hong Kong.

Katanya, Kementerian Pertanian China sedang menyiasat kemungkinan melamin turut digunakan dalam makanan ternakan.



"Tetapi kami tidak tahu maklumat lanjut mengenai siasatan itu. Jadi, kami mahu mereka melaporkan hasil siasatan tersebut.

"Sekiranya makanan ternakan ditemui mengandungi melamin, maka kemungkinan ternakan seperti babi, ayam, ikan dan daging turut tercemar," katanya.

Menurut Zhongjun, penternak mungkin mencampurkan melamin ke dalam makanan bagi meningkatkan kandungan protein, sama seperti yang dilakukan oleh pengeluar produk tenusu.

Skandal susu dicemari melamin telah menjejaskan industri tenusu China.

Empat kanak-kanak meninggal dunia dan 53,000 lagi mengalami masalah buah pinggang setelah minum susu tercemar.

Banyak negara menarik balik atau mengharamkan produk tenusu dari negara ini selepas skandal didedahkan oleh media.

- AFP

sumber: http://utusan.com.my/ 29.10.08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan